Wednesday, November 11, 2009

TIADA ARAHAN BAI'AH CERAI TALAK TIGA : MUSTAFA ALI

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pas Pusat mengakui mengamalkan konsep bai'ah sebagai akujanji dan taat setia kepada parti tetapi secara rasminya tiada arahan cerai talak tiga jika wakil rakyatnya keluar parti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, dakwaan amalan itu dipraktikkan secara meluas adalah tidak benar dan pihaknya yang memandang serius perkara itu sedang melakukan siasatan lanjut.
"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengarahkan saya supaya menyiasat perkara ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan kerana Pas Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan rasmi untuk bai'ah cerai talak tiga.

"Kita memang ada bai'ah untuk memberikan taat setia kepada parti sebelum kita melantik mana-mana pihak mewakili parti tetapi tidaklah sebagaimana yang dilaporkan," katanya .
Khamis lalu, Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad mengesahkan wujudnya amalan bai'ah di kalangan calon wakil rakyat parti itu bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti.

Bagaimanapun, Mustafa ketika ditanya apakah teks penuh bai'ah taat setia kepada Pas yang perlu diucapkan oleh wakil rakyat itu berkata, beliau tidak mengingatinya dengan jelas.
Mengenai adakah pihaknya telah berjumpa atau memanggil Khalid untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendedahan yang dibuat oleh adik kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad itu, katanya, perkara itu belum dilakukan.
"Belum lagi, saya tidak jumpa atau hubungi dia. Kita tidak meletakkan sebarang tempoh masa tertentu untuk menyiapkan siasatan ini kerana yang penting siasatan rapi akan dibuat," katanya.

Dewan Muslimat Pas sebagai reaksi daripada kenyataan Khalid itu telah mempertahankan amalan bai'ah cerai talak tiga yang disifatkan mampu membela wanita dan secara tidak langsung dapat menguatkan azam pemimpin Pas yang menang pilihan raya untuk terus komited kepada perjuangan parti.

Ketuanya, Nuridah Mohd. Salleh menegaskan, pihaknya tidak menolak amalan itu kerana sangat memahami mengapa bai'ah dilakukan iaitu demi memperteguhkan parti.
Beliau berkata, amalan bai'ah yang diperkenalkan kepada calon Pas lelaki sejak pilihan raya 2007 itu tidak bermaksud merendahkan wanita dan menggalakkan perceraian, tetapi sebaliknya sebagai cabaran kepada lelaki berjuang menguatkan syiar Islam.

Antara pemimpin Pas yang mengakui telah melakukan bai'ah cerai talak tiga ialah Setiausaha Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman yang melafazkannya semasa dipilih sebagai calon pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Paya Jaras tahun lalu.
Beliau berkata, bai'ah itu yang disediakan Dewan Ulama Pas akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum pilihan raya berlangsung.

No comments: